nuffnang ads

May 24, 2013

lagu - bedroom sanctuary

Assalamualaikum semua! takde nak cerita apa apa pun, nak bagi tengok music video hasil kerja aku dan kwn2 yang tak seberapa ni. harap korang suka :)




anyway ini sekadar utk assignment, bukan untuk jualan dan sebagainya. suka suka je ni.

Apr 24, 2013

Blogger Prihatin: Pusat Jagaan Nur Hasanah

Pusat Jagaan Nur Hasanah

Tatkala warga kota sedang berehat dan meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga tercinta, aku dan  rakan-rakan seperjuangan dari UiTM Shah Alam bersiap sedia untuk memulakan perjalanan menuju ke Pusat Jagaan Nur Hasanah yang terletak di Beranang,Selangor bagi program Community Service & Responsibility (CSR). Masing-masing cukup teruja sebab boleh dikatakan ini merupakan pengalaman pertama kami melibatkan diri dengan aktiviti sebegini.

Untuk pengetahuan semua, Pusat Jagaan Nur Hasanah merupakan pusat penempatan sementara bagi pesakit-pesakit yang terdampar tanpa waris, muallaf, warga emas atau orang kurang upaya. Buat masa sekarang ini hanya tinggal lebih kurang 11 orang penghuni lelaki sahaja yang menghuni di pusat jagaan tersebut dan rata-rata mereka sudah uzur dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dek kerana penyakit yang dihidapi. Pusat jagaan tersebut pada awal penubuhannya menempatkan sekurang-kurangnya 25 penghuni tetapi jumlah tersebut semakin berkurangan akibat kematian.

Siapa sangka disebalik pokok-pokok getah yang tinggi menghijau, terdapat sebuah rumah menempatkan sekumpulan warga tua yang cekal meneruskan saki baki kehidupan. Pertama kali melangkah masuk kawasan persekitaran pusat jagaan tersebut, rasa kagum terbit dalam sanubari melihat akan halaman rumah yang begitu kemas bagai dijaga rapi. Dari jauh kelihatan para penghuni rumah tersebut sedang berbual sesama mereka. 

Disambut dengan senyuman



Jelas terpancar kegembiraan dari raut wajah mereka tatkala kami mula melangkah memasuki pusat jagaan tersebut. Mungkin pakcik-pakcik dan atuk-atuk di sini sudah biasa menerima tetamu yang datang bagi tujuan khidmat sosial seperti kami, kami semua dilayan dengan begitu mesra sekali. Tanpa melengahkan masa, aku dan rakan-rakan memulakan aktiviti gotong royong bersama-sama membersihkan pusat jagaan tersebut. Ada antara kami membersihkan tingkap, lantai, kipas syiling dan mengemas bilik para penghuni pusat jagaan tersebut. Pada masa yang sama, kami sempat menyediakan juadah makan tengahari untuk dihidangkan kepada para penghuni. 

Makan tengah hari buat para penghuni.

Selesai bergotong royong, aku tidak melepaskan peluang untuk mendekati para penghuni pusat jagaan tersebut. Walaupun ada segelintir para penghuni yang kelihatan agak segan dan tidak mahu untuk memulakan bicara, tapi aku tidak berputus asa. Melihat kepada raut wajah dan tutur kata mereka jelas seolah mereka sedang menyembunyikan sesuatu, mungkin kesedihan yang tak mampu untuk diluahkan setelah sekian lama terbuku di hati. Satu demi satu penghuni aku dekati. Sekadar berkongsi cerita tentang mereka; ada yang langsung tidak mempunyai keluarga, ada yang dipinggirkan keluarga setelah memeluk Islam malah ada yang dipinggirkan anak setelah bercerai dengan isteri. Rasanya tak perlulah aku ceritakan semua kerana setiap dari kita tempuh perjalanan hidup yang berbeza. 

Perbelanjaan bulanan

Menurut  Encik Khairul, penyelia Pusat Jagaan Nur Hasanah, banyak pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat datang ke sini untuk menyampaikan sumbangan sejak pusat jagaan ini ditubuhkan. Tambah beliau, segala sumbangan yang diterima oleh pelbagai pihak digunakan untuk menguruskan pusat jagaan tersebut terutama mengenai makan minum dan kos perubatan para penghuni. Aku dimaklumkan perbelanjaan bulanan pusat jagaan ini boleh mencecah 20 ribu sebulan dan ianya bergantung kepada bilangan penghuni. 

Pada masa yang sama, ihsan daripada bantuan orang ramai yang prihatin, ada antara penghuni di sini mendapat sumbangan kerusi roda bagi memudahkan mereka bergerak. Pusat jagaan dibawah kelolaan Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat  (Perubatan) Malaysia ini sentiasa mengalu-alukan kedatangan masyarakat untuk datang bagi menganjurkan program CSR di sini.

Masalah yang sering dihadapi oleh pusat jagaan ini ialah apabila perbelanjaan bulanan melebihi target yang ditetapkan. Justeru, pihak mereka sedia menerima sumbangan daripada semua pihak dan dana yang diperoleh digunakan untuk memenuhi keperluan penghuni seperti;

  • Makanan harian
  • Rawatan
  • Peralatan perubatan
  • Penyengelenggaraan pusat tersebut
  • Pengangkutan

Mudah-mudahan dengan adanya post dan pendedahan seperti ini, ia dapat menarik orang ramai terutama para remaja untuk terus mendekati mereka yang kurang bernasib baik seperti penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah ini.

Sebelum berangkat pulang, kami sempatkan sampaikan sumbangan seperti pakaian hasil daripada pemberian beberapa ihsan prihatin yang diwakilkan kepada kami.



Kesimpulan

Banyak pengajaran dan pengalaman yang aku perolehi sepanjang mengikuti program khidmat masyarakat ke Pusat Jagaan Nur Hasanah ini antaranya dapat mendekatkan diri dengan mereka yang kurang bernasib baik sedikit sebanyak merasai bagaimana penderitaan yang dialami mereka. Bagi aku, melihat pakcik-pakcik dan atuk-atuk di sini mengingatkan aku akan ibu bapa yang jauh berada di kampung, secara tak langsung mengajar kita untuk lebih menghormati dan menyayangi ibu bapa. Wang ringgit dan kekayaan mungkin boleh di cari tetapi ibu bapa takkan dapat ditukar ganti. 

Teringat akan bait-bait lirik lagu Allahyarham Sudirman; 

Ayah dan ibu, 
Ayah dan ibu, 
Itulah permulaan kami,
Dapat melihat bulan dan matahari,
Aha.......

Yang dikurniakan dari Ilahi,
Aha...
Ayah dan ibu lah,
Mesti dihormati.





Bersama penghuni rumah tersebut, aku kanan sekali.

bergambar kenangan sebelum pulang


Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh terus berkunjung dan menghubungi Pusat Jagaan Nur Hasanah yang terletak di 

No 842, Lorong Dato' Dagang Haji Tahir,
Kg. Sesapan Kelubi, 43700 Beranang, Selangor.
Tel/Faks: 03-87668100
Encik Khairul (Penyelia) : 019-9605947



Mar 23, 2013

Pusat Rawatan Islam dan Tradisional Kalam Suci


Assalamualaikum w.b.t

Setelah sekian lama meninggalkan dunia blog ini,aku terpanggil untuk post berkenaan pusat rawatan Islam milik pakcik aku sendiri. Dari kecil lagi aku sudah terbiasa melihat pakcik aku ni merawat pesakit-pesakit yg rata-rata terkena buatan orang akibat dengki dan bermacam-macam lagi. Sehingga kini,beliau masih lagi merawat pesakit cuma bezanya dulu merawat dekat rumah sahaja tapi sekarang Alhamdulillah dgn izin Allah,beliau dah buka kedai. 

Alhamdulillah juga,ramai pesakit yg mendapatkan khidmat beliau pulih setelah mendapatkan rawatan yg berterusan sehingga sembuh sepenuhnya. Jadi siapa-siapa yg ada kawan-kawan mahupun keluarga sendiri yg perlukan rawatan beliau,bolehlah hubungi beliau atau datang terus ke kedai beliau. 

ini link page beliau di Facebook https://www.facebook.com/pages/Pusat-Rawatan-Islam-Dan-Tradisional-KALAM-SUCI/136382496535526

atau hubungi terus pusat rawatan Islam Kalam Suci 09-7470493 yg beralamat di Lot 2745 Jalan Long Yunus 15200 Kota Bharu Kelantan.

Mereka yg ada ciri-ciri dibawah ini disaran mendapatkan rawatan secepat mungkin,mana tahu ada yg tidak elok pada diri kita.


1. selalu mimpi buruk
2. kerap bermimpi haiwan
3. selalu demam @ badan tidak selesa (sakit2)
4.malas untuk membuat kerja harian
5. berdebar-debar terutama waktu malam
6. sukar tidur (terkejut)
7. hilang selera makan dan susut badan
8. suka menyendiri
9. selalu sakit kepala/migrain
10. selsema berpanjangan
11. batuk yang berpanjang
12. letih yang luar biasa
13. tiada daya tumpuan (tiada focus)
14. perasaan terasa hampa, kecewa/ berputus asa
15. didalam hati kecil berasa seolah-olah hendak mati/ membunuh diri
16. ada lebam-lebam pada badan
17. tidak boleh mengawal emosi/ panas baran
18. terasa bergerak-gerak dalam badan
19. terasa badan seperti tercucuk jarum
20. terlintas bayang-bayangan
21. terdengar suara-suara yang entah dari mana
22. terasa diri seolah-oleh diperhatikan oleh sesuatu
23. badan selalu terasa seram sejuk
24. melihat binatang berbisa didalam rumah
25. selalu berbau yang tidak enak didalam rumah
26. haiwan peliharaan mati mengejut
27. terasa ditindih ketika tidur
28. hilang semangat

Nov 28, 2012

Kes Ragut: Pelajar UiTM jadi mangsa


SHAH ALAM, 26 November – Seorang pelajar perempuan dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diragut sejurus keluar dari rumahnya. Kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 petang di Jalan Seroja 2, Taman Intekma, Seksyen 2 semalam. Mangsa merupakan seorang pelajar jurusan Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dikatakan dalam perjalanan ke perhentian bas Seksyen 2.

Mangsa, Nur Atirah Hanim Binti Ahmad Tarmizi, 21, didatangi oleh oleh dua lelaki yang menaiki motosikal lalu meragut beg tangan miliknya. Mangsa yang dikatakan ketika itu panik lalu menjerit meminta pertolongan dan mengambil tindakan untuk mempertahankan diri dengan menarik kembali beg tangan miliknya.

Mangsa sedang ditemuramah oleh wartawan


Suspek yang berang dengan tindakan mangsa lalu menendang mangsa hingga jatuh di bahu jalan dan bergerak laju meninggalkan mangsa. Nasib masih menyebelahi Nur Atirah Hanim apabila jeritannya didengari oleh orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian dan bergegas memberikan pertolongan. Percubaan suspek melarikan diri gagal apabila orang ramai mula menahan motosikal yang dinaiki suspek terbabit.

Nur Atirah Hanim Binti Ahmad Tarmizi, berkata;

“Saya baru saja keluar dari pintu pagar rumah dan berjalan bersendirian menuju ke perhentian bas berdekatan. Tiba-tiba beg saya diragut dari arah belakang dan kejadian itu berlaku terlalu pantas. Tambahan pula waktu itu jalan agak sunyi dan saya terus menjerit meminta pertolongan.”

Menurut saksi kejadian, Muhammad Amirul Hadi Bin Muhammad, 22, berkata;

Saksi sedang ditemuramah oleh wartawan


“Saya mendengar suara wanita menjerit meminta pertolongan dan melihat berlaku pergelutan antara mereka. Saya dan rakan-rakan bergegas mendapatkan wanita tersenut dan mengejar lalu menahan suspek.”

Sejurus penahanan suspek berkenaan, orang ramai membawa dua suspek terbabit ke balai polis untuk siasatan lanjut. Manakala mangsa pula membuat laporan berhubung kes tersebut. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 


video

Nov 6, 2012

HALA TUJU BOLA SEPAK NEGARA

Siapa yang tidak kenal akan Christiano Ronaldo dan Messi yang merupakan pemain bola sepak ternama dunia. Kelincahan larian serta jaringan yang menakjubkan sering memukau setiap mata yang memandang. Kehebatan mereka berdua tidak perlu dipertikai lagi kerana mereka telah memenangi perlbagai piala bersama kelab dan negara masing-masing. Mungkin ramai yang tidak mengetahui pendapatan yang diperolehi oleh mereka di sebalik penglibatan mereka di dalam arena bola sepak.

Untuk rekod Ronaldo menerima gaji sebanyak 12 juta euro iaitu bersamaan dengan RM48.367 juta setahun manakala Messi menerima gaji sekitar 11 juta euro setahun. Mereka layak memperoleh pendapatan seperti yang dinyatakan setimpal dengan kemampuan serta kebolehan mereka di atas padang.

Senario ini jelas berbeza jika dibandingkan dengan gaji pemain Malaysia yang dikatakan hanya 'cukup makan'. Baru baru ini arena sukan tanah air dikejutkan dengan berita yang menggemparkan apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) di bawah kendalian Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikhabarkan berminat dan mahu menawarkan pemain Kelantan, Norshahrul Idlan dengan gaji sebanyak RM 80 ribu sebulan. Konflik tercetus apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak mahu melepaskan Norshahrul kerana pemain itu masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Kelantan.

Norshahrul Idlan telah 3 kali memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai
Tidak cukup dengan itu PBNJ kini sudah mendapatkan bekas pemain kebangsaan Sepanyol iaitu David Guiza yang dikatakan bernilai RM 1 juta secara pinjaman selama 6 bulan. Sekiranya semua perkhabaran ini benar maka ianya membawa petanda yang positif kepada pembangunan serta kerancakan bola sepak tanah air. Apa tidaknya, pemain pasti akan lebih bersemangat untuk bermain disamping berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri agar suatu hari mereka boleh memperoleh pendapatan yang lumayan setanding pemain ternama yang lain.

Stadium di sekitar Malaysia sudah pasti akan dipenuhi oleh peminat yang rata-rata mahu menyaksikan pasukan mereka hadir dengan barisan terkuat gandingan pemain tempatan dan import. Jika sebelum ini hanya penyokong Red Warriors yang selalu memenuhi stadium setiap kali pasukan kesayangan mereka iaitu Kelantan turun bermain, kali ini senario itu mungkin akan berubah kerana penyokong dari negeri lain juga akan turut sama memenuhi stadium.

Mungkin sesetengah pihak akan mempertikaikan perbelanjaan besar yang dikeluarkan oleh PBNJ dalam usaha melahirkan satu pasukan bola sepak yang mantap tapi kenalkah mereka akan Manchester City? Kelab yang berpengkalan di Manchester ini dimiliki oleh seorang jutawan dari Emiriah Arab Bersatu iaitu Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahya. Pemilik kelab tersebut melaburkan tidak kurang dari 1 Billion Euro untuk membeli pemain-pemain yang berkualiti dalam usaha memantapkan pasukan miliknya itu sehingga mereka berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris 2011/2012 dan berjaya melayakkan diri ke Liga Juara Juara Eropah.

Mungkin akan ada juga yang mengatakan wang yang sebegitu banyak seharusnya digunakan untuk pembangunan bola sepak di peringkat daerah mahupun negeri agar dapat melahirkan pemain pelapis yang berwibawa suatu hari nanti. Sebenarnya pembangunan itu sudah lama wujud dan kita memiliki sekolah sukan yang terbaik, yang telah melahirkan ramai atlet dan pemain bola yang berkaliber. Sebagai contoh pemain berbakat negara, Nazmi Faiz Mansor lahir dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan kini beliau telah bermain di Portugal bersama pasukan FC Beira Mar. Apa yang perlu diperhalusi ialah bagaimana untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang mempunyai nilai komersial yang tinggi dan apa tindakan yang wajar bagi memantapkan sistem pembangunan bola sepak sedia ada.

Banyak yang perlu dilaburkan dalam usaha untuk mencapai kejayaan kerana zaman modenisasi ini bola sepak bukan hanya dilihat sebagai satu permainan sahaja malah bisnes yang boleh mengaut berjuta keuntungan.

RUJUKAN

 Yatimin Abdullah. (2012). KAFA Tak bincang Isu Mat Yo. Retrieved 6 November, 2012, from http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121106/su_03/KAFA-tak-bincang-isu-Mat-Yo

Sarina Izyrn. (2012). Mereka Antara Pemilik Liga Inggeris. Retrieved 6 November, 2012, from http://warisanizryn4u.blogspot.com/2012/03/mereka-antara-pemilik-kelab-liga.html

FACEBOOK DAN SENTIMEN KEBENCIAN

Kebebasan memilih

Kekalahan teruk kerajaan di lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak pada pilihanraya umum yang ke-12 jelas menunjukkan bagaimana rakyat mula menggunakan media alternatif yakni media baru seperti internet sebagai wadah untuk mendapatkan info serta maklumat. Lambakan laman sesawang dan blog yang muncul menguatkan lagi teori yang mengatakan rakyat jelas lebih merujuk kepada internet berbanding media lama seperti surat khabar khususnya.

Di laman sesawang mahupun blog, rakyat bebas dalam mengutarakan serta menyuarakan pendapat mereka terhadap sesuatu isu di tambah pula dengan perkembangan laman sosial Facebook pada masa itu yang bagaikan kewajipan untuk setiap orang untuk memilikinya. Kebebasan yang diberi lama kelamaan bagaikan barah apabila ada antara mereka mula mengutuk dan memaki hamun sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka.

Facebook dan interaksi.

Ramai sedia maklum bahawa di Facebook, semua orang dibenarkan untuk mencipta kumpulan sendiri atau lebih dikenali page dimana mengumpulkan mereka yang mempunyai minat yang sama. Sebagai contoh page Yuna di Facebook diminati atau di like oleh 1,127,24 orang yakni pemilik akaun Facebook yang lain.
Di situ artis berkenaan dapat mempromosikan lagu-lagu serta album terbaru miliknya. Di samping itu para peminat dapat mengetahui perkembangan semasa artis pujaan mereka sambil berkongsi pendapat dan cerita berkaitan Yuna.

Page YUNA ini mendapat 1,127,24 'like'


Jika dilihat dari sudut yang positif ia membawa kebaikan kepada artis itu sendiri dimana para peminat dapat mengetahui dengan lebih terperinci segala perkembangan beliau. Lebih mengujakan apabila page yang wujud di Facebook ini bukan hanya tertumpu kepada artis semata mata malah meliputi semua 'nterest atau minat khalayak masa kini sebagai contoh jika seseorang itu minat akan dekorasi, beliau boleh mencari dan like di page tersebut bagi mendapatkan info berkaitan dekorasi. 

Malangnya wujud sebilangan kecil manusia yang mewujudkan page yang bertujuan memupuk rasa benci pengikutnya terhadap sesuatu. Sebagai contoh di sini disertakan contoh page yang diwujudkan bagi menanamkan rasa benci serta memboikot sesuatu iaitu Kami Boikot Buletin Utama TV3, Kami Boikot Syarikat al-Humaira dan banyak lagi. Jika diteliti topik yang diutarakan oleh pemilik page tersebut tidak lain tidak bukan hanya menanamkan rasa tidak puas hati  serta mengajak mereka yang lain untuk sama-sama membenci disamping menyebarkan agenda yang tersembunyi.



Mengambil contoh page Kami Boikot Buletin Utama TV3, antara isu yang diutarakan 99 peratus memihak kepada pembangkang dan terus menerus menghentam kerajaan. Isu semasa yang dibangkitkan ternyata mengundang pembaca yang lain untuk sama-sama berdiskusi dan amat mengecewakan apabila terdapat segelintir mereka memaki hamun, mengeji dan memulaukan sesiapa sahaja yang tidak sefahaman dengan apa yang dibincangkan.

Jelas isu yang diutarakan mempunyai agenda tersendiri


Kini terdapat lambakan page yang dicipta oleh pihak-pihak yang berkepentingan bertujuan menanamkan sentimen kebencian. Malah lebih membimbangkan jika pembaca menerima isu yang diutarakan tanpa melakukan perbandingan, terus melulu menilai dan membuat kesimpulan. Kebebasan yang diberi seharusnya digunakan sebaik mungkin kerana akal kita juga bebas dalam memilih dan menilai.






Nov 1, 2012

REVIEW: BALKANISASI SIBER: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA

Saya amat tertarik dengan artikel hasil tulisan Dr.Rahmat Ghazali yang bertajuk "Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1Malaysia" yang disiarkan di laman blog miliknya iaitu Suara Murba. Di awal penulisan pembaca dibawa untuk bersama - sama memahami apa yang dimaksudkan dengan balkanisasi siber iaitu istilah yang diperkenalkan oleh Cass Sustein. Balkanisasi siber menurut Cass Sustein ialah suatu analogi terhadap gejala media yang boleh membuatkan khalayak terpisah antara mereka akibat berlainan pendapat malah bakal membentuk koloni masing-masing disamping cenderung bertindak ganas terhadap mereka yang berlainan aliran.  

Apa yang cuba disampaikan oleh penulis ialah bagaimana berkuasanya internet sehingga dapat mempengaruhi pemikiran serta pandangan seseorang jika tidak dibendung. Hal ini kerana internet tiada batasan yang boleh menyekat seseorang daripada mencari apa yang didambakan disamping menghidangkan ratusan malahan ribuan keberangkalian dan persamaan terhadap perkara yang mereka cari. Penulis jelas bimbang dengan kebebasan internet yang cenderung digunakan oleh pihak berkepentingan bagi menyuntik sentimen kebencian terhadap pemerintah lalu meruntuhkan konsep demokrasi yang sudah lama tersemat dalam sanubari rakyat Malaysia.

Kebebasan yang diperoleh mewujudkan rasa obses yang melampau terhadap ideologi dan fahaman yang mereka percayai maka wujud keterpisahan atau segregasi dalam khalayak. Penulis merasakan kebebasan yang diberikan terhadap media baru sememangnya cukup bermanfaat sebagaimana hasrat kerajaan meningkatkan lagi intelek rakyat Malaysia menyaingi bangsa lain namun ianya perlulah dipantau agar senantiasa seiring dengan gagasan 1Malaysai.

Google amat sinonim dengan masyarakat dunia sebagai enjin carian yang memaparkan segala info mahupun gambar tentang bahan yang di cari. Penulis memberi contoh hasil carian terhadap lagenda bola sepak Brazil iaitu Pele yang memaparkan 22.6 juta bahan tetapi itu belum diperincikan lagi. Internet mewujudkan rasa ingin tahu yang mendalam, membuatkan khalayak mencari dan terus mencari berkaitan Pele kerana sifat internet yang sememangnya lewah dan lumayan menurut penulis. 

Penulis bijak dalam memberikan contoh agar pembaca mudah memahami inti pati tajuk yag cuba disampaikan. Merujuk kepada contoh Pele, pengetahuan serta pemahaman yang mendalam membuatkan khalayak obses lantas wujud segregasi antara penyokong Pele dan penyokong yang lain. Di sini kita melihat Pele sebagai seorang lagenda bola sepak yang mungkin boleh menjadi sumber inspirasi tetapi bagaimana jika Pele itu seorang yang jahat, mungkin akan ada pengikut beliau yang cenderung mencontohi langkahnya. 

Seperti yang dibincangkan  di awal penulisan tadi, internet menurut Sustein ialah suatu kuasa yang boleh mengheret khalayak meneroka lebih jauh terhadap bahan yang dicari. Apa yang ingin disampaikan disini ialah gejala tempahan atau customisation yang mengheret khalayak dari suatu perincian terhadap perincian yang lain sehingga memisahkan khalayak dengan khalayak yang lain. Hal yang demikian berlaku kerana minda telah terpengaruh serta obses terhadap apa yang diminati. 

Penulis berpendapat ketaksuban yang melampau seterusnya mewujudkan koloni antara mereka yang mempunyai minat yang sama. Sebagai contoh akhbar Suara Keadilan dan Harakah diterbitkan bagi menghentam kerajaan seolah penulis akhbar tersebut tidak mengikuti etika profesionalisme. Tambah membimbangkan apabila pembaca akhbar berkenaan menerima bulat bulat segala isi kandungan akhbar terbabit tanpa membuat kajian serta perbandingan terlebih dahulu. Penulis cuba mengaitkan antara balkanisasi dan perpaduan kaum di Malaysia yang dilhat semakin rapuh. Wujudnya keterpisahan merenggangkan lagi hubungan sesama kaum mahupun etnik.

KESIMPULAN

Jelas balkanisasi siber melahirkan khalayak yang berpecah belah dek kerana aliran yang berbeza. Tiada apa yang diharapkan oleh penulis selain mengharapkan kebebasan media baru yang diberikan oleh kerajaan haruslah ditunjangi dengan etika kewartawanan seiring dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan kelas pertama.

RUJUKAN

Rahmar Ghazali. (2011), Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1Malaysia. Retrieved 30 October,  2012, from http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-3-balkanisasi-siber-gangguan.html














Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...