nuffnang ads

Nov 1, 2012

REVIEW: BALKANISASI SIBER: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA

Saya amat tertarik dengan artikel hasil tulisan Dr.Rahmat Ghazali yang bertajuk "Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1Malaysia" yang disiarkan di laman blog miliknya iaitu Suara Murba. Di awal penulisan pembaca dibawa untuk bersama - sama memahami apa yang dimaksudkan dengan balkanisasi siber iaitu istilah yang diperkenalkan oleh Cass Sustein. Balkanisasi siber menurut Cass Sustein ialah suatu analogi terhadap gejala media yang boleh membuatkan khalayak terpisah antara mereka akibat berlainan pendapat malah bakal membentuk koloni masing-masing disamping cenderung bertindak ganas terhadap mereka yang berlainan aliran.  

Apa yang cuba disampaikan oleh penulis ialah bagaimana berkuasanya internet sehingga dapat mempengaruhi pemikiran serta pandangan seseorang jika tidak dibendung. Hal ini kerana internet tiada batasan yang boleh menyekat seseorang daripada mencari apa yang didambakan disamping menghidangkan ratusan malahan ribuan keberangkalian dan persamaan terhadap perkara yang mereka cari. Penulis jelas bimbang dengan kebebasan internet yang cenderung digunakan oleh pihak berkepentingan bagi menyuntik sentimen kebencian terhadap pemerintah lalu meruntuhkan konsep demokrasi yang sudah lama tersemat dalam sanubari rakyat Malaysia.

Kebebasan yang diperoleh mewujudkan rasa obses yang melampau terhadap ideologi dan fahaman yang mereka percayai maka wujud keterpisahan atau segregasi dalam khalayak. Penulis merasakan kebebasan yang diberikan terhadap media baru sememangnya cukup bermanfaat sebagaimana hasrat kerajaan meningkatkan lagi intelek rakyat Malaysia menyaingi bangsa lain namun ianya perlulah dipantau agar senantiasa seiring dengan gagasan 1Malaysai.

Google amat sinonim dengan masyarakat dunia sebagai enjin carian yang memaparkan segala info mahupun gambar tentang bahan yang di cari. Penulis memberi contoh hasil carian terhadap lagenda bola sepak Brazil iaitu Pele yang memaparkan 22.6 juta bahan tetapi itu belum diperincikan lagi. Internet mewujudkan rasa ingin tahu yang mendalam, membuatkan khalayak mencari dan terus mencari berkaitan Pele kerana sifat internet yang sememangnya lewah dan lumayan menurut penulis. 

Penulis bijak dalam memberikan contoh agar pembaca mudah memahami inti pati tajuk yag cuba disampaikan. Merujuk kepada contoh Pele, pengetahuan serta pemahaman yang mendalam membuatkan khalayak obses lantas wujud segregasi antara penyokong Pele dan penyokong yang lain. Di sini kita melihat Pele sebagai seorang lagenda bola sepak yang mungkin boleh menjadi sumber inspirasi tetapi bagaimana jika Pele itu seorang yang jahat, mungkin akan ada pengikut beliau yang cenderung mencontohi langkahnya. 

Seperti yang dibincangkan  di awal penulisan tadi, internet menurut Sustein ialah suatu kuasa yang boleh mengheret khalayak meneroka lebih jauh terhadap bahan yang dicari. Apa yang ingin disampaikan disini ialah gejala tempahan atau customisation yang mengheret khalayak dari suatu perincian terhadap perincian yang lain sehingga memisahkan khalayak dengan khalayak yang lain. Hal yang demikian berlaku kerana minda telah terpengaruh serta obses terhadap apa yang diminati. 

Penulis berpendapat ketaksuban yang melampau seterusnya mewujudkan koloni antara mereka yang mempunyai minat yang sama. Sebagai contoh akhbar Suara Keadilan dan Harakah diterbitkan bagi menghentam kerajaan seolah penulis akhbar tersebut tidak mengikuti etika profesionalisme. Tambah membimbangkan apabila pembaca akhbar berkenaan menerima bulat bulat segala isi kandungan akhbar terbabit tanpa membuat kajian serta perbandingan terlebih dahulu. Penulis cuba mengaitkan antara balkanisasi dan perpaduan kaum di Malaysia yang dilhat semakin rapuh. Wujudnya keterpisahan merenggangkan lagi hubungan sesama kaum mahupun etnik.

KESIMPULAN

Jelas balkanisasi siber melahirkan khalayak yang berpecah belah dek kerana aliran yang berbeza. Tiada apa yang diharapkan oleh penulis selain mengharapkan kebebasan media baru yang diberikan oleh kerajaan haruslah ditunjangi dengan etika kewartawanan seiring dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan kelas pertama.

RUJUKAN

Rahmar Ghazali. (2011), Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1Malaysia. Retrieved 30 October,  2012, from http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-3-balkanisasi-siber-gangguan.html














No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...