nuffnang ads

Nov 6, 2012

HALA TUJU BOLA SEPAK NEGARA

Siapa yang tidak kenal akan Christiano Ronaldo dan Messi yang merupakan pemain bola sepak ternama dunia. Kelincahan larian serta jaringan yang menakjubkan sering memukau setiap mata yang memandang. Kehebatan mereka berdua tidak perlu dipertikai lagi kerana mereka telah memenangi perlbagai piala bersama kelab dan negara masing-masing. Mungkin ramai yang tidak mengetahui pendapatan yang diperolehi oleh mereka di sebalik penglibatan mereka di dalam arena bola sepak.

Untuk rekod Ronaldo menerima gaji sebanyak 12 juta euro iaitu bersamaan dengan RM48.367 juta setahun manakala Messi menerima gaji sekitar 11 juta euro setahun. Mereka layak memperoleh pendapatan seperti yang dinyatakan setimpal dengan kemampuan serta kebolehan mereka di atas padang.

Senario ini jelas berbeza jika dibandingkan dengan gaji pemain Malaysia yang dikatakan hanya 'cukup makan'. Baru baru ini arena sukan tanah air dikejutkan dengan berita yang menggemparkan apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) di bawah kendalian Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikhabarkan berminat dan mahu menawarkan pemain Kelantan, Norshahrul Idlan dengan gaji sebanyak RM 80 ribu sebulan. Konflik tercetus apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak mahu melepaskan Norshahrul kerana pemain itu masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Kelantan.

Norshahrul Idlan telah 3 kali memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai
Tidak cukup dengan itu PBNJ kini sudah mendapatkan bekas pemain kebangsaan Sepanyol iaitu David Guiza yang dikatakan bernilai RM 1 juta secara pinjaman selama 6 bulan. Sekiranya semua perkhabaran ini benar maka ianya membawa petanda yang positif kepada pembangunan serta kerancakan bola sepak tanah air. Apa tidaknya, pemain pasti akan lebih bersemangat untuk bermain disamping berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri agar suatu hari mereka boleh memperoleh pendapatan yang lumayan setanding pemain ternama yang lain.

Stadium di sekitar Malaysia sudah pasti akan dipenuhi oleh peminat yang rata-rata mahu menyaksikan pasukan mereka hadir dengan barisan terkuat gandingan pemain tempatan dan import. Jika sebelum ini hanya penyokong Red Warriors yang selalu memenuhi stadium setiap kali pasukan kesayangan mereka iaitu Kelantan turun bermain, kali ini senario itu mungkin akan berubah kerana penyokong dari negeri lain juga akan turut sama memenuhi stadium.

Mungkin sesetengah pihak akan mempertikaikan perbelanjaan besar yang dikeluarkan oleh PBNJ dalam usaha melahirkan satu pasukan bola sepak yang mantap tapi kenalkah mereka akan Manchester City? Kelab yang berpengkalan di Manchester ini dimiliki oleh seorang jutawan dari Emiriah Arab Bersatu iaitu Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahya. Pemilik kelab tersebut melaburkan tidak kurang dari 1 Billion Euro untuk membeli pemain-pemain yang berkualiti dalam usaha memantapkan pasukan miliknya itu sehingga mereka berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris 2011/2012 dan berjaya melayakkan diri ke Liga Juara Juara Eropah.

Mungkin akan ada juga yang mengatakan wang yang sebegitu banyak seharusnya digunakan untuk pembangunan bola sepak di peringkat daerah mahupun negeri agar dapat melahirkan pemain pelapis yang berwibawa suatu hari nanti. Sebenarnya pembangunan itu sudah lama wujud dan kita memiliki sekolah sukan yang terbaik, yang telah melahirkan ramai atlet dan pemain bola yang berkaliber. Sebagai contoh pemain berbakat negara, Nazmi Faiz Mansor lahir dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan kini beliau telah bermain di Portugal bersama pasukan FC Beira Mar. Apa yang perlu diperhalusi ialah bagaimana untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang mempunyai nilai komersial yang tinggi dan apa tindakan yang wajar bagi memantapkan sistem pembangunan bola sepak sedia ada.

Banyak yang perlu dilaburkan dalam usaha untuk mencapai kejayaan kerana zaman modenisasi ini bola sepak bukan hanya dilihat sebagai satu permainan sahaja malah bisnes yang boleh mengaut berjuta keuntungan.

RUJUKAN

 Yatimin Abdullah. (2012). KAFA Tak bincang Isu Mat Yo. Retrieved 6 November, 2012, from http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121106/su_03/KAFA-tak-bincang-isu-Mat-Yo

Sarina Izyrn. (2012). Mereka Antara Pemilik Liga Inggeris. Retrieved 6 November, 2012, from http://warisanizryn4u.blogspot.com/2012/03/mereka-antara-pemilik-kelab-liga.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...