nuffnang ads

Nov 28, 2012

Kes Ragut: Pelajar UiTM jadi mangsa


SHAH ALAM, 26 November – Seorang pelajar perempuan dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diragut sejurus keluar dari rumahnya. Kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 petang di Jalan Seroja 2, Taman Intekma, Seksyen 2 semalam. Mangsa merupakan seorang pelajar jurusan Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dikatakan dalam perjalanan ke perhentian bas Seksyen 2.

Mangsa, Nur Atirah Hanim Binti Ahmad Tarmizi, 21, didatangi oleh oleh dua lelaki yang menaiki motosikal lalu meragut beg tangan miliknya. Mangsa yang dikatakan ketika itu panik lalu menjerit meminta pertolongan dan mengambil tindakan untuk mempertahankan diri dengan menarik kembali beg tangan miliknya.

Mangsa sedang ditemuramah oleh wartawan


Suspek yang berang dengan tindakan mangsa lalu menendang mangsa hingga jatuh di bahu jalan dan bergerak laju meninggalkan mangsa. Nasib masih menyebelahi Nur Atirah Hanim apabila jeritannya didengari oleh orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian dan bergegas memberikan pertolongan. Percubaan suspek melarikan diri gagal apabila orang ramai mula menahan motosikal yang dinaiki suspek terbabit.

Nur Atirah Hanim Binti Ahmad Tarmizi, berkata;

“Saya baru saja keluar dari pintu pagar rumah dan berjalan bersendirian menuju ke perhentian bas berdekatan. Tiba-tiba beg saya diragut dari arah belakang dan kejadian itu berlaku terlalu pantas. Tambahan pula waktu itu jalan agak sunyi dan saya terus menjerit meminta pertolongan.”

Menurut saksi kejadian, Muhammad Amirul Hadi Bin Muhammad, 22, berkata;

Saksi sedang ditemuramah oleh wartawan


“Saya mendengar suara wanita menjerit meminta pertolongan dan melihat berlaku pergelutan antara mereka. Saya dan rakan-rakan bergegas mendapatkan wanita tersenut dan mengejar lalu menahan suspek.”

Sejurus penahanan suspek berkenaan, orang ramai membawa dua suspek terbabit ke balai polis untuk siasatan lanjut. Manakala mangsa pula membuat laporan berhubung kes tersebut. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 



Nov 6, 2012

HALA TUJU BOLA SEPAK NEGARA

Siapa yang tidak kenal akan Christiano Ronaldo dan Messi yang merupakan pemain bola sepak ternama dunia. Kelincahan larian serta jaringan yang menakjubkan sering memukau setiap mata yang memandang. Kehebatan mereka berdua tidak perlu dipertikai lagi kerana mereka telah memenangi perlbagai piala bersama kelab dan negara masing-masing. Mungkin ramai yang tidak mengetahui pendapatan yang diperolehi oleh mereka di sebalik penglibatan mereka di dalam arena bola sepak.

Untuk rekod Ronaldo menerima gaji sebanyak 12 juta euro iaitu bersamaan dengan RM48.367 juta setahun manakala Messi menerima gaji sekitar 11 juta euro setahun. Mereka layak memperoleh pendapatan seperti yang dinyatakan setimpal dengan kemampuan serta kebolehan mereka di atas padang.

Senario ini jelas berbeza jika dibandingkan dengan gaji pemain Malaysia yang dikatakan hanya 'cukup makan'. Baru baru ini arena sukan tanah air dikejutkan dengan berita yang menggemparkan apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) di bawah kendalian Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikhabarkan berminat dan mahu menawarkan pemain Kelantan, Norshahrul Idlan dengan gaji sebanyak RM 80 ribu sebulan. Konflik tercetus apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak mahu melepaskan Norshahrul kerana pemain itu masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Kelantan.

Norshahrul Idlan telah 3 kali memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai
Tidak cukup dengan itu PBNJ kini sudah mendapatkan bekas pemain kebangsaan Sepanyol iaitu David Guiza yang dikatakan bernilai RM 1 juta secara pinjaman selama 6 bulan. Sekiranya semua perkhabaran ini benar maka ianya membawa petanda yang positif kepada pembangunan serta kerancakan bola sepak tanah air. Apa tidaknya, pemain pasti akan lebih bersemangat untuk bermain disamping berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri agar suatu hari mereka boleh memperoleh pendapatan yang lumayan setanding pemain ternama yang lain.

Stadium di sekitar Malaysia sudah pasti akan dipenuhi oleh peminat yang rata-rata mahu menyaksikan pasukan mereka hadir dengan barisan terkuat gandingan pemain tempatan dan import. Jika sebelum ini hanya penyokong Red Warriors yang selalu memenuhi stadium setiap kali pasukan kesayangan mereka iaitu Kelantan turun bermain, kali ini senario itu mungkin akan berubah kerana penyokong dari negeri lain juga akan turut sama memenuhi stadium.

Mungkin sesetengah pihak akan mempertikaikan perbelanjaan besar yang dikeluarkan oleh PBNJ dalam usaha melahirkan satu pasukan bola sepak yang mantap tapi kenalkah mereka akan Manchester City? Kelab yang berpengkalan di Manchester ini dimiliki oleh seorang jutawan dari Emiriah Arab Bersatu iaitu Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahya. Pemilik kelab tersebut melaburkan tidak kurang dari 1 Billion Euro untuk membeli pemain-pemain yang berkualiti dalam usaha memantapkan pasukan miliknya itu sehingga mereka berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris 2011/2012 dan berjaya melayakkan diri ke Liga Juara Juara Eropah.

Mungkin akan ada juga yang mengatakan wang yang sebegitu banyak seharusnya digunakan untuk pembangunan bola sepak di peringkat daerah mahupun negeri agar dapat melahirkan pemain pelapis yang berwibawa suatu hari nanti. Sebenarnya pembangunan itu sudah lama wujud dan kita memiliki sekolah sukan yang terbaik, yang telah melahirkan ramai atlet dan pemain bola yang berkaliber. Sebagai contoh pemain berbakat negara, Nazmi Faiz Mansor lahir dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan kini beliau telah bermain di Portugal bersama pasukan FC Beira Mar. Apa yang perlu diperhalusi ialah bagaimana untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang mempunyai nilai komersial yang tinggi dan apa tindakan yang wajar bagi memantapkan sistem pembangunan bola sepak sedia ada.

Banyak yang perlu dilaburkan dalam usaha untuk mencapai kejayaan kerana zaman modenisasi ini bola sepak bukan hanya dilihat sebagai satu permainan sahaja malah bisnes yang boleh mengaut berjuta keuntungan.

RUJUKAN

 Yatimin Abdullah. (2012). KAFA Tak bincang Isu Mat Yo. Retrieved 6 November, 2012, from http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121106/su_03/KAFA-tak-bincang-isu-Mat-Yo

Sarina Izyrn. (2012). Mereka Antara Pemilik Liga Inggeris. Retrieved 6 November, 2012, from http://warisanizryn4u.blogspot.com/2012/03/mereka-antara-pemilik-kelab-liga.html

FACEBOOK DAN SENTIMEN KEBENCIAN

Kebebasan memilih

Kekalahan teruk kerajaan di lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak pada pilihanraya umum yang ke-12 jelas menunjukkan bagaimana rakyat mula menggunakan media alternatif yakni media baru seperti internet sebagai wadah untuk mendapatkan info serta maklumat. Lambakan laman sesawang dan blog yang muncul menguatkan lagi teori yang mengatakan rakyat jelas lebih merujuk kepada internet berbanding media lama seperti surat khabar khususnya.

Di laman sesawang mahupun blog, rakyat bebas dalam mengutarakan serta menyuarakan pendapat mereka terhadap sesuatu isu di tambah pula dengan perkembangan laman sosial Facebook pada masa itu yang bagaikan kewajipan untuk setiap orang untuk memilikinya. Kebebasan yang diberi lama kelamaan bagaikan barah apabila ada antara mereka mula mengutuk dan memaki hamun sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka.

Facebook dan interaksi.

Ramai sedia maklum bahawa di Facebook, semua orang dibenarkan untuk mencipta kumpulan sendiri atau lebih dikenali page dimana mengumpulkan mereka yang mempunyai minat yang sama. Sebagai contoh page Yuna di Facebook diminati atau di like oleh 1,127,24 orang yakni pemilik akaun Facebook yang lain.
Di situ artis berkenaan dapat mempromosikan lagu-lagu serta album terbaru miliknya. Di samping itu para peminat dapat mengetahui perkembangan semasa artis pujaan mereka sambil berkongsi pendapat dan cerita berkaitan Yuna.

Page YUNA ini mendapat 1,127,24 'like'


Jika dilihat dari sudut yang positif ia membawa kebaikan kepada artis itu sendiri dimana para peminat dapat mengetahui dengan lebih terperinci segala perkembangan beliau. Lebih mengujakan apabila page yang wujud di Facebook ini bukan hanya tertumpu kepada artis semata mata malah meliputi semua 'nterest atau minat khalayak masa kini sebagai contoh jika seseorang itu minat akan dekorasi, beliau boleh mencari dan like di page tersebut bagi mendapatkan info berkaitan dekorasi. 

Malangnya wujud sebilangan kecil manusia yang mewujudkan page yang bertujuan memupuk rasa benci pengikutnya terhadap sesuatu. Sebagai contoh di sini disertakan contoh page yang diwujudkan bagi menanamkan rasa benci serta memboikot sesuatu iaitu Kami Boikot Buletin Utama TV3, Kami Boikot Syarikat al-Humaira dan banyak lagi. Jika diteliti topik yang diutarakan oleh pemilik page tersebut tidak lain tidak bukan hanya menanamkan rasa tidak puas hati  serta mengajak mereka yang lain untuk sama-sama membenci disamping menyebarkan agenda yang tersembunyi.



Mengambil contoh page Kami Boikot Buletin Utama TV3, antara isu yang diutarakan 99 peratus memihak kepada pembangkang dan terus menerus menghentam kerajaan. Isu semasa yang dibangkitkan ternyata mengundang pembaca yang lain untuk sama-sama berdiskusi dan amat mengecewakan apabila terdapat segelintir mereka memaki hamun, mengeji dan memulaukan sesiapa sahaja yang tidak sefahaman dengan apa yang dibincangkan.

Jelas isu yang diutarakan mempunyai agenda tersendiri


Kini terdapat lambakan page yang dicipta oleh pihak-pihak yang berkepentingan bertujuan menanamkan sentimen kebencian. Malah lebih membimbangkan jika pembaca menerima isu yang diutarakan tanpa melakukan perbandingan, terus melulu menilai dan membuat kesimpulan. Kebebasan yang diberi seharusnya digunakan sebaik mungkin kerana akal kita juga bebas dalam memilih dan menilai.






Nov 1, 2012

REVIEW: BALKANISASI SIBER: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA

Saya amat tertarik dengan artikel hasil tulisan Dr.Rahmat Ghazali yang bertajuk "Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1Malaysia" yang disiarkan di laman blog miliknya iaitu Suara Murba. Di awal penulisan pembaca dibawa untuk bersama - sama memahami apa yang dimaksudkan dengan balkanisasi siber iaitu istilah yang diperkenalkan oleh Cass Sustein. Balkanisasi siber menurut Cass Sustein ialah suatu analogi terhadap gejala media yang boleh membuatkan khalayak terpisah antara mereka akibat berlainan pendapat malah bakal membentuk koloni masing-masing disamping cenderung bertindak ganas terhadap mereka yang berlainan aliran.  

Apa yang cuba disampaikan oleh penulis ialah bagaimana berkuasanya internet sehingga dapat mempengaruhi pemikiran serta pandangan seseorang jika tidak dibendung. Hal ini kerana internet tiada batasan yang boleh menyekat seseorang daripada mencari apa yang didambakan disamping menghidangkan ratusan malahan ribuan keberangkalian dan persamaan terhadap perkara yang mereka cari. Penulis jelas bimbang dengan kebebasan internet yang cenderung digunakan oleh pihak berkepentingan bagi menyuntik sentimen kebencian terhadap pemerintah lalu meruntuhkan konsep demokrasi yang sudah lama tersemat dalam sanubari rakyat Malaysia.

Kebebasan yang diperoleh mewujudkan rasa obses yang melampau terhadap ideologi dan fahaman yang mereka percayai maka wujud keterpisahan atau segregasi dalam khalayak. Penulis merasakan kebebasan yang diberikan terhadap media baru sememangnya cukup bermanfaat sebagaimana hasrat kerajaan meningkatkan lagi intelek rakyat Malaysia menyaingi bangsa lain namun ianya perlulah dipantau agar senantiasa seiring dengan gagasan 1Malaysai.

Google amat sinonim dengan masyarakat dunia sebagai enjin carian yang memaparkan segala info mahupun gambar tentang bahan yang di cari. Penulis memberi contoh hasil carian terhadap lagenda bola sepak Brazil iaitu Pele yang memaparkan 22.6 juta bahan tetapi itu belum diperincikan lagi. Internet mewujudkan rasa ingin tahu yang mendalam, membuatkan khalayak mencari dan terus mencari berkaitan Pele kerana sifat internet yang sememangnya lewah dan lumayan menurut penulis. 

Penulis bijak dalam memberikan contoh agar pembaca mudah memahami inti pati tajuk yag cuba disampaikan. Merujuk kepada contoh Pele, pengetahuan serta pemahaman yang mendalam membuatkan khalayak obses lantas wujud segregasi antara penyokong Pele dan penyokong yang lain. Di sini kita melihat Pele sebagai seorang lagenda bola sepak yang mungkin boleh menjadi sumber inspirasi tetapi bagaimana jika Pele itu seorang yang jahat, mungkin akan ada pengikut beliau yang cenderung mencontohi langkahnya. 

Seperti yang dibincangkan  di awal penulisan tadi, internet menurut Sustein ialah suatu kuasa yang boleh mengheret khalayak meneroka lebih jauh terhadap bahan yang dicari. Apa yang ingin disampaikan disini ialah gejala tempahan atau customisation yang mengheret khalayak dari suatu perincian terhadap perincian yang lain sehingga memisahkan khalayak dengan khalayak yang lain. Hal yang demikian berlaku kerana minda telah terpengaruh serta obses terhadap apa yang diminati. 

Penulis berpendapat ketaksuban yang melampau seterusnya mewujudkan koloni antara mereka yang mempunyai minat yang sama. Sebagai contoh akhbar Suara Keadilan dan Harakah diterbitkan bagi menghentam kerajaan seolah penulis akhbar tersebut tidak mengikuti etika profesionalisme. Tambah membimbangkan apabila pembaca akhbar berkenaan menerima bulat bulat segala isi kandungan akhbar terbabit tanpa membuat kajian serta perbandingan terlebih dahulu. Penulis cuba mengaitkan antara balkanisasi dan perpaduan kaum di Malaysia yang dilhat semakin rapuh. Wujudnya keterpisahan merenggangkan lagi hubungan sesama kaum mahupun etnik.

KESIMPULAN

Jelas balkanisasi siber melahirkan khalayak yang berpecah belah dek kerana aliran yang berbeza. Tiada apa yang diharapkan oleh penulis selain mengharapkan kebebasan media baru yang diberikan oleh kerajaan haruslah ditunjangi dengan etika kewartawanan seiring dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan kelas pertama.

RUJUKAN

Rahmar Ghazali. (2011), Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1Malaysia. Retrieved 30 October,  2012, from http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-3-balkanisasi-siber-gangguan.html














AES - MEMUPUK ATAU MEMBEBANKAN?

ANCAMAN NOMBOR SATU

Kemalangan jalan raya adalah sesuatu yang sudah menjadi kelaziman di negara kita kerana hampir setiap hari akan ada kemalangan yang dilaporkan oleh media cetak mahupun elektronik. Malah statistik yang didedahkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan sebanyak 414,421 kemalangan jalan raya telah dilaporkan pada tahun 2010 dibandingkan dengan 265,175 pada tahun 2001, sementara itu angka kematian jalan raya telah meningkat daripada 5,849 kes pada tahun 2001 kepada 6,872 kes pada tahun 2010. 

Sebenarnya pelbagai program dan kempen berkisarkan keselamatan jalan raya telah dilaksanakan baik oleh kerajaan mahupun NGO tetapi sejauh mana tahap kesedaran  para pengguna jalan raya terhadap isu ini. Ops Sikap, Ops Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster, kempen kesedaran serta  penguatkuasaan dilakukan dan merupakan  metodologi yang digunakan oleh pihak  kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya. 

Namun saban hari jumlah kemalangan yang di catatkan semakin meningkat dan nahas jalan raya kini menjadi ancaman nombor satu di Malaysia yang semakin kritikal lebih - lebih lagi dengan penambahan jumlah kenderaaan setiap tahun.

KAMERA AES

Hari ini kerajaan mengambil satu lagi pendekatan baru dengan memperkenalkan pemasangan kamera Automated Enforcement System (AES) di sekitar jalan raya di Malaysia. Lazimnya kamera AES dipasang bagi mengesan  kesalahan memandu melebihi  had laju atau melanggar lampu isyarat merah. Sebanyak 831 kamera AES dipasang di Malaysia di jalan-jalan raya utama termasuk lebuh-raya yang dikendalikan oleh 2 syarikat iaitu ATES Sdn. Bhd dan Betap Tega Sdn. Bhd.

Info tentang kamera AES

 Lokasi pemasanga kamera AES

KECAMAN
Namun kamera AES yang dipasang disekitar jalan di Malaysia telah mendapat kecaman yang cukup hebat sehingga perkara ini dibawa ke parlimen. Ramai yang beranggapan pemasangan kamera AES hanya menambahkan lagi beban pengguna jalan raya. Ada antara pengguna jalan raya yang telah mendapat surat saman berjumlah RM300 sedangkan pihak Kementerian Pengangkutan dan JPJ mengatakan bahawa projek AES ini masih lagi dalam proses percubaan. Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa pemasangan kamera ini bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang - undang tetapi yang menjadi persoalan ialah sejauh mana keberkesanan sistem ini. Adakah sistem kamera AES ini perlu dihapuskan terus serta merta atau ditambah baik?

RUJUKAN

Lee Lam Thye. (2012). Ambil Langkah Kurangkan Kemalangan Jalan Raya. Retrieved 30 Oct, 2012, from http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120607/re_07/Ambil-langkah-kurangkan-kemalangan-jalan-raya


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...